Akhlak Berjamaah . ( berorganisasi )
1.1 : FAHAM
Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang parah mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya.
Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni.
Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula.
Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat di atasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redho daripada Allah swt.
Saidina Omar al Khattab pernah menegaskan :
تفقهوا قبل أن تسودوا
Fahamilah oleh mu ( akan perkara agama dan urusan kepimpinan/perjuangan ) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin .
من يرد الله به خيرا يفقه في الدين
Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah swt. kebaikan nescaya Ia diberi faham tentang agama .
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim
Pertama : Memahami Ghayah .
Ghayah adalah matlamat akhir yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu , ghayah atau matlamat akhir kita Allah Jalla wa A’la . Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah azza wa jalla kerana kelak menjadikan kita menyeleweng dari petunjuk Ilahi.
و أن هذا صراطي مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله
“ dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus , maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan – jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah swt.”
Surah al Ana'am : 153
Apabila kita benar – benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah swt. , maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah swt.
Allah swt. sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh kepada Allah swt.
Saat itu , tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana hubbur riyaasah atau gila jawatan atau berasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri dari medan perjuangan yang serba mencabar ini .
Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini , sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah swt. yang pasti memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya.
Saya harap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :
الله غايتنا
Allah Matlamat kita
الرسول قدوتنا
Ar Rasul Ikutan Kita
القرآن دستورنا
Al Quran Perlembagaan Kita
الجهاد سبيلنا
Al Jihad Jalan Perjuangan Kita
الموت في سبيل الله أسمى أماننا.
Mati Syahid di atas Jalan Allah setinggi – tinggi cita – cita Kita .
Kedua : Memahami Hadaf .
Hadaf ialah matlamat semasa atau objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi.
Sebagai contoh , antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya daulah islamiyyah di atas tanahair kita.
Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya.
Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf , kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai . Sebagai contoh tadi , Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai , maka kita dituntut supaya memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.
Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut :
أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم
Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu
Malang , andainya kita meletakkan Daulah Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri – ciri daulah islamiyyah bahkan tidak menunjukkan syakhsiyyah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah .
Manakan tidak , semangat berkobar – kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita “hancur” , tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar . Tentu sahaja semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan .
Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah terlebih dahulu menghayati criteria ad daaei atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai methodology dakwah yang efektif berasaskan maudhu’ dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap madu’u .
Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang melahirkan pelbagai polemic dan kontraversi . Ada yang menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapan atau ceramah , akhirnya menjauhkan madu’u dari perjuangan kita .
Demikian juga sebuah penampilan yang tidak sesuai dengan masyarakat atau audien sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati madu’u .
Firman Allah swt :
فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك
Maka dengan rahmat Allah , engkau ( Muhammad saw ) berlaku lemah lembut terhadap mereka . Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar , tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu.
Surah Aali Imran : 159
Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun kita hanya ahli biasa , berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam – dalamnya .
Kita bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti , apalagi laba duniawi . Kita berdakwah untuk membawa mesej perjuangan kita kepada masyarakat agar mereka menerima Islam.
Bertolak dari keinsafan ini , sampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah kita menembusi jiwa madu’u.
Firman Allah swt :
ادع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هى احسن .
Berdakwahlah mengajak manusia kembali kepada tuhanmu dengan hikmah , nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang terbaik.
Surah an Nahl : 125
Ketiga : Memahami Manhaj .
Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya diami secara jelasfah sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi .
Al Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita . Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah .
Firman Allah swt :
ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع اهواء الذين لا يعلمون .
Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat ( peraturan agama ) , maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.
Surah al Jaathiyah : 18
Secara organisasinya , jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah .
Ianya mesti difahami dan dihayati . Pengamatan saya mendapati masih ramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah . Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan.
Sebagai contoh , Jamaah kita mengambil pendekatan Muwaajahah bissilmi sebagai polisi perjuangan kita di Malaysia . Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya.
Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syara’ kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi . malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri .
Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang , namun ianya satu reality .
Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka tidak menyertai usrah atau liqa’ fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya.
Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kebodohan dan kejahilan mereka. Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas.
Ketidakfahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah .
Ada yang cenderung membawa aliran syiah semata – mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran , sedang Iran bukan hebat kerana mereka syiah dan kita lemah bukan kerana kita ahli sunnah wal jamaah.
Mereka menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideology barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia yang digelar mereka sebagai syaithanul akbar.
Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka sebagai ahli sunnah wal jamaah tetapi menganut faham dan ideology barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka. Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh barat .
Lantaran itu , membawa masuk fahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah ini untuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah . Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan semangat jihad dikalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideology asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah.
Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jamaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama’ dengan tanggapan serong bahawa ulama’ tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi.
Semuanya adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri .
Keempat : Memahami Bia’h . ( reality )
Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar , pula penampilan dan method yang tepat dan sesuai .
Perkara ini memerlukan kita memahami bia’h atau reality yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat sampaikan dengan baik kesetiap hati sanubari masyarakat , sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam.
Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak.
Tidak memahami bia’h menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula.
Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadhiran perjuangan kita serta keperluan jamaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bia’h.
Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum ?
Kelima : Memahami Isti’dad . ( persediaan )
Allah berfirman :
و اعدوا لهم ما استطعتم من قوة و من رباط الخيل ترهبون به عدو الله و عدوكم
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu .
Surah al Anfaal : 60
Kita tidak boleh berjuang semborono tanpa persiapan . Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya , kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideology yang dicipta oleh manusia.
Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita .
Saidina Omar al Khattab menyatakan :
إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة اذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية
Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah.( musuh )
Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan .
Faktor pertama ialah Faktor Penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul jalil.
Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah buat perjuangan yang kita dokong ini justeru ia lah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita .
Jangan putuskan hubungan antara kita dengan Allah swt. malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar .
يا ايها المزمل قم اليل إلا قليل نصفه او انقص منه قليلا او زد عليه و رتل القرآن ترتيلا إنا سنلقى عليك قولا ثقيلا
Wahai orang yang sedang berselimut ! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil , Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu.
Surah al Muzammil : 1 - 5
Faktor kedua ialah Faktor Membantu .
Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap factor - factor ini sekalipun ia hanyalah factor yang membantu . Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara’ kepada kita .
Faktor ini dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh , organisasi dan jentera penggerak yang mantap , anggota yang ramai , pengaruh yang lebar dan sebagainya.
1.2 : TULUS IKHLAS.
Merajah Karektor Pemuda
Sambungan ..... ( Siri Ketiga )
Akhlak Pertama :
Akhlak Berjamaah . ( berorganisasi )
1.2 : IKHLAS
Keikhlasan adalah rahsia antara seorang pejuang dengan tuhannya. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan نصرة ( pertolongan / kemenangan ) daripada Allah swt.
Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya ( sebagai seorang pejuang ) dengan Allah swt. dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat atau تقرّب yang berterusan . Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan .
Masakan tidak , kerana keikhlasan melahirkan kesungguhan berkerja dan bertugas tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit , kesungguhan tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah turut meningkatkan reputasi diri pejuang itu sendiri .
Keikhlasan turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh segala virus yang terbit dari sifat مذمومة ( negatif ) seperti ريأ ( berkerja dan bertugas untuk diperlihatkan kepada umum , kononnya ia seorang yang rajin dan tekun bertugas sedang prestasinya merosot jika tiada orang melihat aksinya ) , عجب ( hairan dan bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada parti atau jamaah dan merasakan orang lain tidak seperti dirinya ) , حب رياسة ( cinta kepada jawatan atau kedudukan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi dan politik cantas sedang tidak pula sehebat itu aksinya ketika menentang musuh ) dan 1001 jenis sifat atau tabiat lain yang merosakkan keikhlasan dan kesejahteraan beramal dengan Amal Islami .
Tanpa keikhlasan dalam perjuangan , biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih , kesannya sangat memudharatkan jamaah . Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan bekerja. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan jamaah dan kemuncaknya ialah Allah membatalkan jadual kemenangannya.
Petanda Ikhlas seorang pejuang .
• Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah swt. tidak kerana target nak jadi Yang di Pertua atau seumpamanya sehingga melanggar disiplin Amal Jamaei atau membina imej diri sehingga merempuh system syura dalam Amal Islami.
عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضى الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَ إِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَ رَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَ رَسُوْلِهِ وَ مَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
( رواه البخاري و مسلم )
“Sesungguhnya amalan berasaskan niat dan sesungguuhnya bagi setiap individu terpulang kepada apa yang ia niatkan , maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kembali kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia ( tujuan keduniaan ) yang ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingn dikahwininya maka hijrahnya kembali kepada tujuan asal hijrah yang ia lakukan.” [1]
Nawaitu yang ikhlas sangat diperlukan oleh seorang pejuang kerana ia kelak akan berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari perjuangan suci ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya . Hasil nawaitu yang ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pejuang.
السكينة النفسية - Jiwa yang tenang
القوة الروحية - Rohani yang kuat
الإستمرار في العمل - Istiqamah terhadap tugas
تحويل العاديات إلى العبادات - Semua tugas menjadi ibadat
احراز ثواب العمل - Beroleh ganjaran dalam tugas
• Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan . Jawatan hanya menjadi alat dan pengagihan tugas , bukan platform amal . Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang mendhohirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan.
Contohilah Khalid Ibnul Walid yang menerima surat perletakan jawatan di tengah medan perang dari Amiril Mukminin Saiyidina Omar Al Khattab rha. , tetapi Khalid Al Walid meneruskan perjuangan sehingga perang selesai , barulah surat itu diwartakan kepada umum .Lantas sahabat rhm. mempersoalkan kenapa Khalid Al Walid terus berperang walhal ia tidak lagi menjadi ketua turus tentera waktu itu . Khalid Al Walid rha. mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan seorang pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Omar tetapi kerana Allah swt.
• Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran, kerana sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya التناصح ( nasihat menasihati ) dikalangan anggota jamaah malah menyemarakkan semangat keikhlasan berjuang. Justeru mereka yang memperjuangkan kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya yang betul , pasti tidak akan memiliki sikap tersebut .
عن أبي رُقَيَّةَ تميم بن أَوْسٍ الدَّارِيِّ رضى الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الَدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ قُلْنَا لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ وِ لِكِتَابِهِ وَ لِرَسُوْلِهِ وَ لأََئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَ عَامَتِهِمْ .
( رواه مسلم )[2]
“Ugama ialah nasihat , lantas kami bertanya : Bagi siapa ? Rasulullah saw. menjawab : bagi Allah swt. , kitabNya , rasulNya , pemimpin muslimin dan orang – orang awam mereka ( muslimin )”
• Tidak bermain alasan untuk mengelak diri dari aktiviti jamaah . Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun .
لا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ
( التوبة 44 – 45 )
Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.
• Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun arahan itu tidak bersesuaian dengan keinginan diri . Sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi bukti sebuah keikhlasan .
• Prihatin terhadap keperluan jamaah . Memberi penumpuan penuh dan serious terhadap jadual aktiviti dan keperluan semasa dengan rasa tanggungjawab , tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan . Rasa terpanggil untuk menunaikan keperluan jamaah adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan seorang pejuang.
• Tolak ansur dalam mengendali gerakkerja dan permasalahan jamaah jua menjadi cermin diri ke arah melahirkan jiwa yang ikhlas. Tabiat mementingkan diri sendiri dan sukar mengalah adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan , malah gerakkerja sering tergendala dan masaalah kian kusut dengan wujudnya individu seperti ini .
• Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kerana mereka sekurang – kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan suci ini . Memburuk - burukkan mereka terdahulu dengan pelbagai anggapan melulu tidaklah mendatangkan apa - apa manafaat buat perjuangan ini. Bukankah Allah telah mengajar kita dengan satu disiplin yang sangat mulia iaitu mendoakan mereka dan memohon agar tidak tumbuh sifat hasad dan dengki dalam diri kita terhadap mereka yang terlebih dahulu membuka langkah dalam perjuangan ini ?
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
( الحشر 10 )
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
• Post mortem atau muhasabah aktiviti dan program yang telah dilaksanakan . Pejuang yang ikhlas tidak sambil lewa dan bersahaja dalam aktiviti / program yang dianjur semata - mata untuk memenuhi jadual dan tidak juga mempunyai sikap lepas tangan sejurus selesai program dilaksanakan . Sebaliknya ia mengadakan post mortem yang berdedikasi untuk menilai dan menggarap masa depan yang baik dan berkesan .
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
( الحشر 18 )
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan ( muhasabah ) apa yang ia telah berlalu (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
• Mengakui dan menginsafi kesilapan yang telah dilakukan agar ianya tidak diulang kembali . Pejuang yang ikhlas tidak akan teragak – agak atau malu untuk mengakui kesilapan yang dilakukan malah segera insaf dan bertaubat .
Mengakui dan menginsafi kesilapan bukan suatu yang menjatuhkan maruah diri malah ia membuktikan keluhuran budi dan keikhlasan hati .
• Menjaga rahsia jamaah , justeru ia suatu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap anggota dan pemimpin . Perbuatan membocorkan rahsia jamaah seperti mendedahkan minit mesyuarat kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat atau mempersoalkan keputusan mesyuarat di khalayak ramai ( seperti di kedai kopi ) adalah merupakan satu pengkhianatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh anggota atau pemimpin , yang mana mereka adalah pemegang amanah jamaah .
• Menepati keputusan dan ketetapan jamaah.Tindakan yang bercanggah dengan keputusan atau ketetapan jamaah merupakan satu kesalahan akhlak dalam Amal jamaei . Selama mana keputusan dan ketetapan itu tidak bercanggah dengan syariat Ilahi , maka ia menjadi satu kewajipan bagi setiap ahli di pelbagai peringkat untuk mematuhinya.
Lain persetujuan dalam mesyuarat , lain pula tindakan diluar mesyuarat hanya mendhohirkan sikap tidak ikhlas terhadap perjuangan yang didokong.
• Tidak mengklasifikasikan ketaatan pada pimpinan. Peringkat mana sekalipun pimpinan itu mengeluarkan arahan , tanggungjawab anggota ialah memberi kepatuhan dan ketaatan. ( selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat .)
Tidak ada beza pada suara arahan yang datang dari Presiden atau Ketua cawangan . ( Yang mana semua arahan mesti ditaati )
• Aktif tidak bermusim. Jangan hanya aktif di musim pilihanraya atau musim - musim tertentu mengikut mood peribadi atau isu semasa .Menampil dan menonjolkan diri hanya di musim pilihanraya atau muktamar tahunan ‘ yang ada pemilihan ’ menunjukkan ada udang di sebalik batu dan sifat ini sangat tidak ikhlas terhadap perjuangan.
Demikianlah antara petanda ikhlas yang mesti dimiliki oleh setiap anggota dan pemimpin jamaah . Keikhlasan terhadap perjuangan adalah kunci kemenangan. Lantaran itu penglibatan dengan jamaah sayugianya berasaskan semangat perjuangan yang ikhlas untuk menegakkan kedaulatan Islam dan keadilannya , kerana keikhlasan sedemikianlah yang dinilai sebagai ‘ jihad fi Sabilillah ’
حَدِيثُ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَجُلا أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ أَعْلَى فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ *
( متفق عليه )[4]
“Hadis Abi Asy-a’ri Rha. bahawa seorang lelaki A’rabi mendatangi nabi saw. lantas bertanya : Wahai Rasulullah , seseorang berperang ( berjuang ) supaya memperolehi harta ghanimah , ada yang berperang ( berjuang ) supaya namanya disebut – sebut , ada yang berperang ( berjuang ) supaya dilihat kedudukannya , maka siapakah yang benar - benar berjuang di jalan Allah ( fi Sabilillah ) Maka Nabi saw. menjawab: Barangsiapa yang berperang ( berjuang ) untuk meninggikan kalimah Allah swt. maka dia lah pejuang di jalan Allah swt.”
[1] رواه البخاري أول صحيحه و في الإيمان ( باب ما جاء أن الأعمال بالنية الحسنة و لكل امرىء ما نوى. و مسلم في الإمارة ( باب قوله صلى الله عليه وسلم : إنما الأعمال بالنية )
[2] رواه مسلم في كتاب الإيمان ( باب بيان أن الدين النصيحة ) رقم 55
[4] كتاب إمارة باب من قاتل لتكون كلمة الله هى العليا فهو في سبيل الله
Tuesday, March 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment